Friday, October 14, 2011

GST selepas PRU-13 hampir realiti


Harakahdaily,14 Okt 2011
KUALA LUMPUR, 14 Okt: Pakatan Rakyat yakin kerajaan Barisan Nasional akan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) jika kekal berkuasa selepas PRU13. 

Menurut Pengarah Strategi PKR Mohd Rafizi Ramli, melaksanakan GST adalah satu satunya jalan keluar bagi membolehkan Belanjawan 2012 yang berjumlah RM232 bilion dapat direalisasikan dalam keadaan pertumbuhan ekonomi yang menurun sekarang.


Katanya, ini kerana ekonomi negara sukar untuk mencapai sasaran pertumbuhan 5% - 6% memandangkan angka unjuran ekonomi terkini yang dibuat Malaysian Institute of Economics Research (MIER) menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi tahun 2011 kepada 4.6%.


"Ini akan memberi kesan kepada jumlah pendapatan negara bagi tahun 2012 akibat kutipan cukai dan hasil lain yang berkurangan berikutan pertumbuhan ekonomi 2012 yang lebih perlahan," katanya.


Untuk merealisasikan Belanjawan 2012, BN ujarnya perlu meminjam sekurang-kurangnya RM46 bilion untuk membiayai defisit Belanjawan 2012; itu pun jika ekonomi tumbuh pada kadar 5% - 6% bagi tahun 2012. 


Pada masa yang sama, keupayaan kerajaan mengeluarkan terbitan bon dan instrumen hutang baru dalam tahun 2012 adalah terbatas akibat had keberhutangan negara (debt ceiling) yang dihadkan kepada 55% daripada KDNK di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983. 


Tambahnya, hutang negara kini sudah pun mencecah 53% dari KDNK berdasarkan angka rasmi Bank Negara Malaysia setakat Jun 2011, maka sebarang hutang baru sudah tentu bertentangan dengan undang-undang negara.


"Ini mengesahkan niat Perdana Menteri untuk serta-merta melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sekiranya Barisan Nasional kekal berkuasa selepas PRU13. 


"Ini adalah satu pertaruhan yang diambil oleh Perdana Menteri, dengan niat mengabui mata rakyat dan menawarkan gula-gula bermula dengan bayaran dalam Januari 2012 kelak tetapi akan dicukai kembali melalui GST selepas PRU13 kelak," tegasnya.

GST perlu segera dilaksanakan


ARKIB : 13/10/2011

KUALA LUMPUR 12 Okt. - Malaysia perlu segera melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi menampung dana yang diperuntukkan di bawah Bajet 2012, kata firma percukaian dan audit, UHY Malaysia.

Rakan kongsi kanan UHY Malaysia, Alvin Tee berkata, peruntukan kerajaan sebanyak RM232.8 bilion pada Bajet 2012 dengan bajet defisit yang rendah dilihat sukar untuk ditampung dengan dana sedia ada.

Sehubungan itu, katanya, mungkin lebih praktikal untuk Kerajaan menangguhkan beberapa cadangan dalam Bajet 2012 berikutan keperluan pembiayaannya.

''Ramai pemerhati menjangkakan pengumuman Bajet 2012 baru-baru ini melibatkan pelaksanaan GST dalam negara, tetapi ia tidak berlaku,'' kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini.

Pengenalan GST merupakan inisiatif yang disenaraikan dalam Kewangan Awam Pembaharuan Inisiatif Strategik (SRI) dan ia harus dijalankan dengan segera.

GST merupakan cukai penggunaan menyeluruh dan ia menjadi mekanisme kerajaan di seluruh dunia untuk mengutip hasil selain menangani masalah defisit bajet.

Agensi di belakang Program Transformasi Ekonomi (ETP), Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan Pemandu (PEMANDU), turut menganggarkan tambahan RM6 bilion pada hasil Kerajaan dalam tempoh dua tahun pelaksanaannya.

Tambah Tee, GST merupakan sistem yang saksama berbanding rejim cukai perkhidmatan dan jualan yang tidak diberi kredit input.

Katanya, bagi negara yang memperkenalkan GST, ia telah membentuk sebahagian besar hasil cukai Kerajaan.

''Bajet 2012 merupakan pemangkin inisiatif ETP Kerajaan, jadi Malaysia harus melaksanakan GST sebagai salah satu ciri ekonominya dalam usaha untuk bersaing dengan negara lain,'' ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1013&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_03.htm#ixzz2WcwFOKsK
© Utusan Melayu (M) Bhd