Thursday, September 29, 2011

Perlu ada reformasi cukai individu


ARKIB : 28/09/2011

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini menyarankan agar kita mengambil pendekatan dan penyelesaian yang inovatif. Mungkin Kerajaan perlu menilai semula pendekatan yang diambil di dalam mengenakan cukai untuk individu.

Pada masa ini, seseorang individu yang menerima pendapatan penggajian akan mendapati sebahagian gajinya ditolak cukai secara bulanan. Kadar potongan bulanan berjadual ini bergantung kepada status individu tersebut seperti adakah individu tersebut berkeluarga atau sebaliknya.

Potongan bulanan berjadual ini merupakan cukai yang dijelaskan secara pendahuluan. Apabila individu tersebut mengemukakan Borang Retan dan mengira jumlah akhir cukai yang dikenakan, jumlah yang dipotong secara bulanan ini ditolak daripada jumlah tersebut. Sekiranya jumlah cukai akhir ini lebih tinggi maka pembayar cukai individu tersebut harus menjelaskan baki cukai tersebut selewat-lewatnya 30 April. Jika sebaliknya, pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan memulangkan amaun yang dipotong secara berlebihan.

Jadi tidak hairanlah menjelang 30 April setiap tahun, kaunter-kaunter LHDN akan sesak dengan orang ramai. Banyak masa yang dihabiskan hanya untuk mengemukakan sekeping borang. Pihak LHDN pula harus menggaji lebih tenaga kerja serta membayar kos lebih masa untuk memproses borang-borang tersebut.

Ada pihak yang berpendapat sekiranya seseorang individu hanya menerima pendapatan penggajian sahaja, maka potongan cukai secara bulanan ini sudah memadai tanpa perlu untuk individu tersebut mengemukakan Borang Retan. Pemilihan ini boleh dilakukan individu tersebut pada permulaan tahun. Cara ini mungkin boleh menjimatkan belanja dan masa bagi kedua-dua pihak.

Menyelaras kadar cukai untuk individu

PEMBAYAR cukai individu dikenakan cukai pada kadar-kadar cukai berkala bergantung kepada jumlah pendapatan yang diterima. Pembayar cukai yang pendapatan bercukai tidak melebihi RM2,500 setahun tidak perlu membayar cukai. Bagaimana, julat di antara satu kadar dengan kadar dilihat terlalu rapat. Kerajaan disarankan untuk mengkaji semula julat tersebut dan melebarkan had pendapatan bercukai di antara satu tahap dengan tahap seterusnya. Ini secara tidak langsung juga menawarkan pengurangan cukai terutamanya untuk golongan berpendapatan sederhana.

Kerajaan juga harus mengkaji semula kadar cukai tertinggi untuk individu kerana setiap individu yang memperoleh pendapatan lebih daripada RM100,000 akan dikenakan cukai pada kadar 26 peratus ke atas pendapatan yang melebihi RM100,000 sedangkan kadar cukai korporat hanyalah 25 peratus. Walaupun perbezaan di antara kadar-kadar ini hanyalah satu peratus, namun bagi pembayar cukai individu yang menerima pendapatan dividen yang mana jumlah pendapatannya melebihi RM100,000 akan mendapati bahawa beliau harus menjelaskan lebih cukai berbanding pembayar cukai korporat. Ketidakseimbangan ini merugikan pembayar cukai individu tersebut.

Pelepasan cukai untuk bencana alam

SETIAP kali bencana alam seperti tanah runtuh atau banjir melanda, pasti ada yang akan kerugian ekoran kerosakan harta. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, kita perlu untuk berbelanja bagi menggantikan barangan yang rosak. Kerajaan mungkin dapat mempertimbangkan untuk membenarkan kerugian atau perbelanjaan bagi menggantikan kerosakan diberi pelepasan cukai di dalam Bajet 2012. Ini sudah tentu dapat meringankan bebanan yang dipikul.

Kita juga amat bertuah menjadi rakyat di bumi Malaysia. Jarang sekali kita mengalami bencana alam seperti kebuluran, gempa bumi, banjir besar seperti di negara-negara lain. Namun, kita tetap prihatin terhadap kesengsaraan yang dihadapi oleh mereka yang dilanda bencana tersebut dan selalu bersedia menghulurkan bantuan. Inilah sifat pemurah rakyat Malaysia.

Namun demikian, sumbangan yang dilakukan hanya layak dituntut tolakan cukai tidak boleh melebihi 7.0 peratus daripada jumlah pendapatan yang kena cukai. Barangkali, kerajaan di dalam Bajet 2012 ini dapat mencadangkan mana-mana sumbangan yang dilakukan kepada badan-badan bukan kerajaan bagi tujuan membantu mangsa-mangsa ini diberi tolakan cukai tanpa had bagi menggalakkan lebih ramai pihak beramal jariah.

Menyenaraikan apa yang kita mahu adalah satu perkara yang mudah. Kita mahu penurunan di dalam kadar cukai. Kita mahu lebih pelepasan cukai. Kita mahu kemajuan dan infrastruktur berkelas antarabangsa. Namun hakikatnya, kerajaan menghadapi tekanan untuk merapatkan jurang defisit perbelanjaan. Ini hanya boleh dilakukan melalui dua perkara iaitu meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan. Tentunya dengan apa yang kita mahu, pendapatan kerajaan daripada hasil cukai pendapatan akan berkurangan. Jadi kita mungkin tidak akan dapat apa yang kita mahu melainkan kerajaan mempunyai sumber lain untuk meningkatkan pendapatan. Sumber ini semestinya tidak bergantung ke atas pendapatan kerana jumlah pembayar cukai pendapatan adalah kecil iaitu 1.7 juta. Sumber ini harus berdasarkan anggaran.

Sekiranya sumber ini adalah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kita hanya mampu untuk tunggu dan lihat.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0928&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WcuiAVST
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tuesday, September 27, 2011

Mansuh cukai pendapatan bergaji rendah



ARKIB : 26/09/2011


KUALA LUMPUR 25 Sept. – Persatuan-persatuan pengguna menggesa kerajaan agar memansuhkan cukai pendapatan untuk golongan berpendapatan rendah dan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober ini.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, cukai pendapatan yang dikenakan terhadap golongan berpendapatan rendah ini perlu dipertimbangkan kerana dengan jumlah gaji di bawah RM3,000, mereka hanya boleh menyimpan sebanyak tujuh peratus sahaja.

“Gaji yang rendah dengan kos kehidupan yang tinggi ditambah dengan cukai yang dikenakan akan menyebabkan mereka tertekan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Jelas Jacob lagi, kerajaan juga perlu menetapkan gaji minimum kepada pekerja di sektor awam bagi membantu mereka yang sudah berkeluarga.

Sementara itu, Bendahari Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Yusof Rahman berkata, GST perlu dilaksanakan segera kerana ia boleh membantu golongan yang berpendapatan rendah menikmati barangan dan perkhidmatan dengan harga yang rendah.

“Kos sara hidup tidak meningkat dengan pelaksanaan GST kerana keperluan utama orang ramai seperti makanan dan pengangkutan akan dikecualikan daripada cukai berkenaan.

“Sehubungan itu, GST dapat menjimatkan perbelanjaan isi rumah kerana pengguna hanya perlu membayar cukai sebanyak empat peratus berbanding cukai jualan dan perkhidmatan yang tinggi seperti dikenakan sekarang,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0926&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_04.htm#ixzz2WRyWzkvf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tawar banyak insentif?


ARKIB : 26/09/2011

KUALA LUMPUR 25 Sept. - Bajet 2012 dijangka menawarkan pelbagai insentif untuk melengkapkan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP), selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi pada 2020.

Berikutan itu, Bajet 2012 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini akan membabitkan empat strategi iaitu meningkatkan kualiti hidup, melaksanakan pendekatan proaktif kerajaan untuk meluaskan aktiviti ekonomi, menyediakan persekitaran perniagaan yang mesra serta pembangunan dan latihan semula bakat berkelas dunia.

AmResearch dalam nota penyelidikannya berkata, Bajet 2012 begitu terangkum dan memberi fokus kepada segmen penduduk tertentu khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana, tanpa mengenepikan untuk menyediakan persekitaran perniagaan kondusif melalui lebih banyak insentif dan pelepasan cukai.

Menurutnya, Bajet 2012 bakal menyasar kepada mengurangkan beban rakyat disebabkan kos kehidupan yang begitu tinggi.

Oleh itu, firma penyelidikan itu meramalkan kerajaan akan memperkenalkan bantuan langsung dalam bentuk baucer tunai yang boleh ditebus di Kedai 1Malaysia serta bantuan lain kepada ibu-ibu tunggal, pemandu teksi, pekerja estet dan golongan berpendapatan RM3,000 dan ke bawah.

AmResearch berkata, firma itu percaya kerajaan juga tidak akan meminggirkan kumpulan berpendapatan sederhana - dengan memperkenalkan rebat cukai.

Untuk meningkatkan permintaan domestik, kerajaan dijangka memperkenalkan pengurangan secara sukarela sumbangan pekerja dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja daripada 11 peratus kepada sembilan peratus.

Langkah itu membolehkan terdapat lebihan kira-kira RM700 juta sebagai pendapatan boleh guna.

Untuk mengekalkan Malaysia sebagai negara kompetitif di rantau ini, kerajaan dijangka meliberalisasi garis panduan pelaburan dengan meningkatkan pegangan asing dalam sektor tertentu seperti minyak dan gas, penjagaan kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan perniagaan profesional.

Kerajaan juga dijangka mengurangkan cukai pendapatan individu sebanyak 1.0 peratus mata tetapi mengekalkan cukai korporat.

Kata AmResearch, pengurangan cukai itu dijangkakan sebelum kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), sekiranya negara serius mahu menarik pelaburan langsung asing dan membawa pulang diaspora.

''Ia adalah langkah positif dalam persediaan untuk melaksanakan GST pada 2014 atau 2015.

''Malah, cukai pendapatan rendah mampu menjadi daya tarikan untuk membawa pulang bakat mahir tempatan di luar negara,'' katanya.

Dalam pada itu, AmResearch berkata, Bajet 2012 perlu mengekalkan sokongan pertumbuhan fiskal, memberi keseimbangan pengurangan defisit daripada unjuran 5.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2011 kepada 5.2 peratus pada 2012.

Firma itu membayangkan kerajaan akan berdepan dengan pelbagai cabaran memandangkan pengurangan bagi perbelanjaan pembangunan adalah sukar ketika pertumbuhan dunia merosot.

Secara keseluruhannya, AmResearch meramalkan Bajet 2012 akan memberi lebih banyak berita baik, sekali gus memberi petanda bahawa pilihan raya umum semakin hampir - kemungkinan pada awal tahun depan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0926&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WctJFEa6
© Utusan Melayu (M) Bhd