Thursday, August 18, 2011

Tidak terkecuali


ARKIB : 17/08/2011


MOHAMED ARIF ABDUL KAREEM Pakar Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa


KUALA LUMPUR 16 Ogos – Pertumbuhan negara pada suku kedua adalah lebih perlahan berbanding suku pertama tahun ini kerana kemelut ekonomi di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah, kata Pakar Ekonomi Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF), Prof. Emeritus Datuk Mohamed Arif Abdul Kareem.

Beliau berkata, biarpun Jun lalu, data meningkat sedikit terutama dalam sektor industri dan pembuatan tetapi ia masih tidak dapat meningkatkan peratusan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

‘‘Ekonomi Malaysia dipengaruhi dengan apa yang berlaku di Eropah dan AS, dan ia bukan hanya masalah kepada ekonomi tempatan tetapi juga berlaku kepada Singapura yang mengalami pertumbuhan perlahan.

‘‘Kita boleh menjangkakan kesan yang sama turut berlaku di Malaysia sama seperti Singapura kerana ekonomi kita lebih pelbagai berbanding negara jiran itu,’’ katanya selepas menyampaikan ceramah umum berkaitan ‘Ekonomi Islam Tidak Bermaya?’ di sini hari ini.

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan keputusan KDNK bagi suku kedua esok.

Tambah beliau, dengan isu bebanan hutang di AS dan Eropah serta penurunan taraf kredit telah memburukkan situasi semasa.

‘‘Bagi keseluruhan tahun, saya menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara akan hanya berada pada paras 4.6 peratus hingga lima peratus sahaja iaitu pada paras munasabah,’’ jelasnya.

Ditanya tentang persiapan kerajaan dalam pembentangan bajet pada tahun ini, Mohamed Arif berkata, kerajaan perlu mencari jalan untuk meningkatkan hasilnya.

‘‘Selepas mengurangkan cukai korporat, kerajaan kini perlu mencari cara lain dalam meningkatkan sumber mereka supaya dapat memberikan bajet lebih berkualiti kepada orang ramai.

‘‘Salah satu caranya, kerajaan sepatutnya mempercepatkan pelaksanaan cukai perkhidmatan dan barangan (GST) bagi menggantikan apa yang telah dikurangkan atau dilupuskan,’’ katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0817&pub=utusan_malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm#ixzz2WRxLBy2a
© Utusan Melayu (M) Bhd