GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, October 31, 2013

Sokong langkah naikkan cukai keuntungan hartanah


ARKIB : 26/10/2013

JOHOR BAHRU 25 Okt. - Kerajaan negeri menyokong langkah menaikkan Cukai Keuntungan Hartanah (RPGT) bagi membendung spekulasi harga rumah dalam pasaran.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha menyediakan bekalan unit rumah yang mencukupi dan memperbetulkan mekanisme pembiayaan dilakukan supaya tidak membebankan rakyat amat dialu-alukan.

"Kerajaan negeri Johor mengalu-alukan dasar bagi memastikan rakyat mempunyai capaian dan keupayaan memiliki rumah kediaman.

"Kita akan bekerjasama dengan agensi-agensi pelaksana seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) agar unit-unit rumah mampu milik yang dibangunkan menepati kesesuaian dan keperluan pengguna," katanya.

Beliau mengulas pembentangan Bajet 2014 bertemakan 'Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji' yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Khaled berkata, Dana Mudahcara yang diperuntukkan sebanyak RM4 bilion bagi projek-projek perumahan kos rendah dan sederhana juga membuktikan bahawa kerajaan komited dan mendengar keluhan hati rakyat tentang isu perumahan.

Beliau berkata, menerusi pembentangan itu, jelas bahawa kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Najib yang juga Menteri Kewangan sentiasa komited dalam menjaga kebajikan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Bajet 2014 juga dilihat selari dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Sebagai Menteri Besar, saya memberi komitmen bahawa kerajaan negeri sentiasa bersedia untuk bersama-sama dengan kerajaan Persekutuan bagi mencapai setiap matlamat yang telah dirancang demi kesejahteraan rakyat di negeri ini, khususnya dan Malaysia secara amnya," katanya.

Beliau berkata, Bajet 2014 juga bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat berpendapatan rendah, malah turut membela golongan sederhana yang terkesan dengan situasi ekonomi tidak menentu apabila kerajaan bersetuju memperluaskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan tersebut.

Mengenai pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga mampu mengukuhkan lagi pengurusan fiskal ekonomi negara, ujarnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment