GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, October 31, 2013

Mansuh subsidi gula: Rakyat perlu diajar 'maksud' yang baik


ARKIB : 27/10/2013

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat perlu diajar dengan 'maksud' yang baik di sebalik tindakan kerajaan memansuhkan subsidi gula sebanyak 34 sen.

Menurut Perdana Menteri, hal demikian kerana bilangan pesakit diabetes kini berada di peringkat membimbangkan dengan 2.6 juta rakyat berusia 30 tahun ke atas menghidap penyakit itu.

"Kita hapuskan subsidi gula, sebabnya subsidi itu membazir, ini yang dikatakan oleh kebanyakan penganalisis pasaran. Hakikatnya, 2.6 juta rakyat kita menghidap diabetes. Kalau menderita diabetes, mata kadang-kadang rabun, nak kena gunakan mesin dialisis dan lebih teruk, kaki terpaksa dipotong.

"(Pengambilan gula berlebihan) adalah tidak baik. Saya sendiri sudah belajar minum teh tanpa gula. Inilah, kita perlu ajar rakyat dengan perkara-perkara yang baik sebab kita kerajaan yang bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan Ke-42 di Dewan Wawasan Tun Dr. Lim Keng Yaik di sini hari ini.Semalam, Najib dalam pembentangan Bajet 2014 mengumumkan pemansuhan subsidi gula sebanyak 34 sen berkuat kuasa hari ini bagi menyejahterakan kesihatan rakyat.

Najib memberitahu, dengan perkara-perkara baik yang dicadangkan kerajaan itu, pembangkang seharusnya menyokong usaha berkenaan.

"Kita kena terus memberitahu rakyat perkara yang benar, lambat laun mereka akan menerimanya juga. Kita mesti mengulangi mesej (baik) ini," ujarnya.

Katanya, berhubung Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015 pada kadar enam peratus, penganalisis pasaran turut berpendapat GST adalah baik untuk negara ini.

"Awalnya pembangkang menentang GST tetapi sekarang mereka sudah 'modify' (ubah suai) sedikit (bangkangan) apabila meminta GST ditangguhkan. Sebab apa? Sebab ini baik untuk negara (mengikut penjelasan penganalisis pasaran)," tambahnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment