GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, October 31, 2013

Kerajaan perlu giat beri penerangan - Abdullah


ARKIB : 27/10/2013

SHAH ALAM 26 Okt. - Tun Abdullah Ahmad Badawi yakin pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dimulakan pada April 2015 adalah baik untuk ekonomi negara dan rakyat, justeru kerajaan perlu mempergiatkan usaha memberi penerangan serta pemahaman yang jelas kepada seluruh masyarakat mengenai perkara itu.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, langkah berkenaan amat penting supaya rakyat memahami matlamat serta tujuan sebenar pelaksanaan cukai tersebut yang dilihat bagi memastikan kemapanan ekonomi negara sekali gus memberi pulangan kepada rakyat dalam jangka masa panjang.

"Sebenarnya GST bukanlah perkara baharu, telah ada banyak perbincangan mengenai perkara ini sebelum ini. Bagaimanapun, pelaksanaannya akan dibuat pada April 2015 menerusi pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

"Saya berkeyakinan pelaksanaan GST adalah baik untuk ekonomi negara dan rakyat. Bagaimanapun, yang lebih penting cukai itu harus dilaksanakan dengan baik.

"Pada masa sama, rakyat perlu diberikan pemahaman yang betul-betul jelas mengenai pelaksanaan GST. Cakap (penerangan) sikit-sikit tidak cukup, perlu dibuat secara bersungguh-sungguh agar rakyat tidak terkeliru," katanya selepas menghadiri program Going Green Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang dirasmikan Pengerusi Landskap Malaysia, Tun Jeanne Abdullah.

Yang turut hadir Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar.

Semalam, Najib ketika membentangkan Bajet 2014 mengumumkan pelaksanaan GST mulai 1 April 2015 pada kadar enam peratus iaitu lebih rendah daripada kadar cukai-cukai sedia ada.

Menurut Perdana Menteri, GST diperkenalkan untuk menggantikan cukai jualan yang dikenakan pada kadar lima dan 10 peratus selain cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Dalam pada itu, Abdullah turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Najib kerana dapat membentangkan Bajet 2014 yang disifatkannya mampu membawa kepada pertumbuhan ekonomi negara yang baik.

"Apa yang akan dilaksanakan melalui Bajet 2014 nanti dapat bantu negara selain memberi lebih keyakinan kepada semua pihak terhadap kejayaan ekonomi kita. Pada saya, Bajet 2014 lebih menyakinkan daripada mengecewakan," ujarnya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment