GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, October 31, 2013

GST terbukti sistem percukaian lebih adil, telus,


ARKIB : 27/10/2013

KUALA LUMPUR 26 Okt. - Tidak ada satu negara di dunia ini yang menarik semula atau menghentikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) setelah melaksanakannya kerana ia disifatkan lebih adil dan telus.

Pengerusi Syariah Affin Islamic Bank, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (gambar) berkata, sistem percukaian itu terus menjadi keutamaan kebanyakan negara maju sebagai sumber perolehan yang bermanfaat, kemudian disalurkan kepada rakyat itu sendiri.

"Semua negara yang melaksanakan GST mempunyai matlamat supaya perolehan atau pendapatan mereka dapat dijana dengan lebih mapan menerusi hasil pencukaian.

"Sebab itu, tidak ada satu negara pun yang melaksanakan GST lalu menghentikannya kerana mereka melihat percukaian itu lebih efisien dan saksama berbanding sistem lain," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas tentang pelaksanaan GST yang akan bermula pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus, lebih rendah daripada kadar-kadar cukai sedia ada.

Tambah Asyraf Wajdi, sudah tiba masanya untuk kerajaan mengkaji struktur percukaian yang ada kerana perolehan negara pada hari ini tidak bersifat kekal dan mapan sepanjang masa kerana negara banyak bergantung kepada sumber minyak.

"Malah cukai individu dan korporat yang diperoleh tidak sampai 15 peratus, tidak membantu menjana sumber pendapatan negara memandangkan sistem itu bersifat 'pay-as-you-earn' (PAYE).

"Berbeza dengan GST yang dilihat menyeluruh, mereka yang membeli dan menggunakan akan membayar cukai. Semakin tinggi pengguna berbelanja, semakin tinggi cukai dikenakan," katanya.

Jelasnya, sampai satu masa GST dilaksanakan iaitu pada 2015 nanti, kebijaksanaan pentadbiran kerajaan sangat penting untuk memastikan keberkesanan sistem percukaian tersebut.

"Keberkesanan itu meliputi bagaimana kerajaan mengimbangi keperluan menjana perolehan pada masa panjang, namun perlu dipastikan manfaat tersebut dapat dirasakan oleh seluruh rakyat dalam masa pendek," katanya.

Berikutan GST bakal dilaksanakan pada 2015, beliau menyeru kerajaan supaya bersifat proaktif dalam mendidik dan memberi maklumat kepada rakyat bagi mempersiapkan mereka dari segi persepsi dan pelaksanaannya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Dr. Saidatulakmal Mohd. berkata, pelaksanaan GST disifatkan sebagai satu percukaian yang lebih baik dan adil berbanding dengan sistem sedia ada.

"Kebanyakan negara maju melaksanakan GST sebagai sumber pendapatan.

"Sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada menyatakan jika negara-negara maju yang melaksanakan GST merasakan sistem itu tidak betul dan tidak memberi keuntungan, mengapa masih diteruskan," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment