GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, October 31, 2013

GST bukti keseriusan


ARKIB : 26/10/2013

GST yang akan dilaksanakan pada April 2015 tidak akan dikenakan ke atas beberapa
barangan makanan asas yang menjadi keperluan harian rakyat. - GAMBAR HIASAN
KUALA LUMPUR 25 Okt. - Pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan satu pendekatan yang perlu dan menggambarkan bahawa kerajaan serius mahu memastikan pertumbuhan negara yang stabil untuk jangka panjang.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Tan Sri Azman Mokhtar berkata, intipati Bajet 2014 yang diumumkan merupakan cubaan untuk menyesuaikan kembali kedudukan kewangan negara yang tidak berada dalam keadaan yang baik.

“Pertumbuhan ekonomi Malaysia tidak seharusnya dirangsangkan oleh peningkatan kadar hutang. GST merupakan kaedah yang dapat mengurangkan defisit fiskal.

“GST juga merupakan kaedah yang dapat mengurangkan cukai korporat serta cukai pendapatan individu," katanya.

Di dalam pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia akan melaksanakan sistem GST mulai 1 April 2015.

Bagaimanapun, GST tidak akan dikenakan ke atas beberapa barangan makanan asas yang menjadi keperluan harian rakyat.

Seiring dengan pelaksanaannya, kerajaan turut mengumumkan pengurangan beberapa jenis cukai bagi menstabilkan pasaran.

Sementara itu, hasrat melaksanakan GST pada kadar enam peratus, menandakan kerajaan begitu mengutamakan kedudukan hutang negara.

Menurut Penganalisis Ekonomi OCBC Bank, Selena Ling, kadar enam peratus itu dilihat lebih tinggi daripada jangkaan awal sebelum ini, namun menganggap kadar tersebut dapat mengurangkan perbelanjaan defisit negara.

“Pengurangan cukai korporat, pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta pemotongan cukai pendapatan individu merupakan langkah awal bagi mengimbangi pelaksanaan GST kelak," katanya.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) melihat pengenalan GST merupakan satu langkah positif untuk negara dalam jangka masa panjang.

ABM menyatakan, ABM dan ahli-ahli akan bekerja dengan lebih dekat dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan pelaksanaan GST lancar bagi industri perbankan komersial.

Jelas kenyataan itu, pengurangan cukai korporat dan cukai pendapatan individu selaras dengan pengenalan GST akan meningkatkan pembangunan Malaysia sebagai pusat kewangan kompetitif di rantau ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Group Bhd., Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata, pihaknya gembira apabila kerajaan tidak mengenakan GST ke atas pembelian, penjualan serta sewa hartanah.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment