GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, October 31, 2013

Dapatkan maklumat tepat


ARKIB : 27/10/2013
Oleh HAKIMI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my


ABDUL Wahid Omar (tengah) diiringi Abdul Rahman Hasan (empat, kiri) bersama sebahagian daripada 2,500 peserta menyertai Larian Statistik 2013 di Kompleks Sukan Air, Presint 6, Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 26 Okt. - Terlalu banyak maklumat tidak tepat disebarkan oleh pakatan pembangkang menjadi punca utama segelintir masyarakat negara ini menolak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai 1 April 2015.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, penyebaran maklumat tidak tepat sememangnya mempengaruhi pemikiran sesetengah pihak sekali gus menyebabkan pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diterima dalam perasaan bercampur baur.

Beliau berkata, masyarakat negara ini perlu mendapatkan maklumat sahih mengenai intipati Bajet 2014 bagi membolehkan mereka memahami setiap perancangan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi Malaysia.

"Sekarang terlalu banyak maklumat yang tidak betul disebarkan terutama oleh pakatan pembangkang. Sebagai rakyat, kita perlu memahami dan mendapatkan maklumat yang tepat mengenai intipati Bajet 2014.

"GST yang bakal dilaksanakan pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus adalah jauh lebih rendah daripada kadar cukai-cukai sedia ada seperti cukai jualan dan cukai perkhidmatan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Larian Statistik 2013 di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Perangkaan Malaysia, Dr. Abdul Rahman Hasan dan Presiden Persatuan Perangkaan Malaysia, Dr. Mohd. Uzir Mahidin.

Menurut Abdul Wahid , kadar GST yang akan dilaksanakan di Malaysia juga amat rendah berbanding dalam kalangan negara ASEAN lain yang turut melaksanakannya seperti Indonesia, Vietnam, Kemboja, Filipina dan Laos yang mengenakan GST pada kadar 10 peratus manakala Singapura serta Thailand pada kadar tujuh peratus.

"Ramai yang kata bila GST diperkenalkan akan ada pihak yang terbeban. Mereka sebenarnya silap kerana melalui pelaksanaan GST kita sebenarnya mengelak daripada pembayaran cukai dua kali iaitu cukai jualan dan cukai perkhidmatan, selepas ini kita hanya perlu bayar satu cukai sahaja.

"Perubahan harga barangan atau perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat minimum, malah ada barangan yang akan menjadi lebih murah. Selain itu terdapat juga barangan utama di negara ini bakal dikecualikan daripada GST," katanya.

Katanya, rakyat negara ini sepatutnya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana membentangkan bajet yang komprehensif dan bertanggungjawab bagi memastikan negara ini berkembang secara mapan dan cemerlang.

"Bajet 2014 sebenarnya menyasarkan untuk mengurangkan kadar defisit negara kepada 3.5 peratus pada 2014 dan tiga peratus menjelang 2015 selaras dengan matlamat untuk mencapai bajet seimbang menjelang 2020," katanya.

Sementara itu mengulas dakwaan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan GST bakal membebankan rakyat, Abdul Wahid berkata, kerajaan telah melakukan kajian terperinci sebelum memutuskan untuk melaksanakan GST.

"Kerajaan telah bersedia dengan sebarang kemungkinan, contohnya pelbagai bantuan sokongan akan diberikan kepada rakyat semasa peringkat peralihan pelaksanaan GST termasuk pemberian bantuan tunai secara 'one-off' sebanyak RM300 kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment