GST EVENT CALENDAR

GST MALAYSIA CALCULATOR

Nuffnang Add

Thursday, October 31, 2013

Bajet 2014: GST akan dilaksanakan mulai 1 April 2015


ARKIB : 25/10/2013

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Kerajaan akan melaksanakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula 1 April, 2015 pada kadar enam peratus.

Menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan, ia adalah sistem cukai yang adil dan menyeluruh yang memanfaatkan semua rakyat Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2014 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata GST akan dikuatkuasakan 17 bulan daripada hari ini dengan kadar enam peratus itu antara yang paling rendah dalam kalangan negara-negara ASEAN.

"Perlu saya tegaskan bahawa GST bukanlah cukai tambahan baharu," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Sebaik dilaksanakan, Najib berkata cukai tunggal atau GST itu akan membolehkan kerajaan menangani kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada.

"Lebih 160 negara di dunia telah melaksanakan GST. Ini jelas menunjukkan bahawa GST terbukti sebagai satu sistem cukai yang telus, berkesan dan adil.

"Majoriti negara-negara dunia itu tidak akan melaksanakan GST jika ia memudaratkan rakyat dan negara," kata beliau.

Najib berkata kerajaan percaya ini adalah masa terbaik untuk melaksanakan GST dengan kadar inflasi yang rendah dan terkawal.

Pada masa ini, kadar inflasi adalah rendah pada dua peratus. Beliau berkata GST tidak akan dikenakan ke atas bahan makanan asas seperti beras, gula dan tepung serta bekalan air paip.

Ia juga tidak akan dikenakan ke atas perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan dan 200 unit pertama bekalan elektrik sebulan untuk pelanggan domestik.

Sementara itu, perkhidmatan pengangkutan, tol lebuh raya, pelajaran serta perkhidmatan kesihatan dikecualikan daripada GST.

Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih dikecualikan daripada GST.

Sebaik dilaksanakan, kerajaan akan memberi bantuan sekali sebanyak RM300 kepada isi rumah BR1M, serta pengurangan sebanyak satu hingga tiga mata peratusan dan penstrukturan semula cukai pendapatan individu.

Bagi perniagaan, antara pakej yang dicadangkan oleh kerajaan ialah pengurangan dalam cukai pendapatan korporat dan PKS daripada tahunan penilaian

2016, serta Elaun Modal Dipercepatkan bagi kos pembelian peralatan dan perisian ICT, diberikan hingga tahun penilaian 2016.

Ia juga termasuk pengurangan dalam cukai pendapatan koperasi sebanyak satu hingga dua mata peratusan daripada tahun penilaian 2015, serta satu geran latihan RM100 juta kepada perniagaan yang menghantar pekerja mereka untuk latihan GST pada 2013 dan 2014.

"Dengan pelbagai pakej istimewa yang disediakan oleh kerajaan, tentunya tiada pihak akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang dan

perkhidmatan sewenang-wenangnya.

"Harga barang akan sentiasa dipantau. Kerajaan akan menerbitkan risalah harga barang dan perkhidmatan yang boleh digunakan untuk membuat perbandingan harga," jelas Najib.

Selain itu, beliau berkata, Jawatankuasa Pemantauan GST akan ditubuhkan untuk memastikan kelancaran pelaksanaan GST.

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, dengan dianggotai oleh agensi kerajaan, wakil industri dan NGO. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment